Monday, 28 October 2013

Bekas Perisik Korea Utara DEDAH PENGALAMAN



BUSAN 11 Mac - Seorang bekas perisik Korea Utara bertemu sanak saudara seorang wanita Jepun yang pernah diculik Pyongyang tiga dekad lalu dalam usaha menjelaskan keadaan sebenar kepada keluarga tahanan terbabit.
Perjumpaan penuh emosi antara bekas perisik, Kim Hyun-Hee yang kini tinggal di alamat yang dirahsiakan di Korea Selatan dengan dua ahli keluarga Yaeko Taguchi di bandar ini berlangsung dalam suasana yang dikawal ketat.
Antara yang turut serta dalam pertemuan itu bagi mengawal keadaan ialah tentera anti keganasan, anjing penghidu dan anggota keselamatan berpakaian preman.
Hyun-Hee yang sebelum ini dijatuhkan hukuman gantung, namun dimaafkan ekoran penglibatannya meletupkan pesawat Korea Selatan pada November 1987, mendakwa Taguchi adalah guru bahasanya di sekolah risikan.
Dia yang tidak pernah muncul di khalayak ramai sejak 20 tahun lalu dilihat bersalaman dengan abang Taguchi, Shigeo Iizuka, 70, anak lelaki tahanan itu, Koichi Iizuka, 32.
Hyun-Hee turut menundukkan kepalanya dan menangis.
Selepas pertemuan itu, ketiga-tiga mereka dijadual bertemu para wartawan Jepun dan Korea.
Korea Utara mengaku menculik Taguchi pada 1978 bagi melatih perisik-perisiknya ketika dia berumur 22 tahun, tetapi mendakwa dia terkorban dalam nahas jalan raya pada Julai 1986.
Bagaimanapun Hyun-Hee dalam satu pesanan kepada media Korea berkata, Taguchi masih hidup sehingga tahun 1987.
Tokyo sebelum ini meminta Korea Utara menjelaskan nasib 17 warganya yang diculik rejim itu antara tahun 1970-an hingga 1980-an.
Pyongyang turut mengakui menculik 13 rakyat Jepun bagi melatih perisiknya dan hanya membenarkan lima daripada mereka pulang pada 2002, sementara bakinya dikatakan meninggal dunia. - AFP

No comments:

Post a Comment