RAMAI menganggap kewujudan Pulau Batu Hairan di perairan Pulau
Banggi, kira-kira 65 kilometer ke timur laut Kudat, Sabah pada 14 April
1988 dan tenggelam pada 25 Februari 1990, sebagai batu terapung yang
mempunyai keramat dan pembawa rezeki. Misteri kewujudan dan kehilangan
pulau yang dipercayai terhasil dari terumbu karang seluas 0.7 hektar dan
berketinggian 3.1 meter itu hingga kini kekal menjadi tanda tanya.
Pulau
sebesar padang bola sepak itu masih segar dalam ingatan penduduk
Sabah, terutama yang pernah berkunjung ke tapak itu untuk melihat
sendiri keistimewaannya. Mengikut cerita penduduk Pulau Banggi, batu itu
ditemui seorang nelayan yang tertidur dalam bot pada waktu malam dan
sebaik tersedar, beliau hairan apabila menyedari botnya berada di sebuah
pulau. Lebih aneh, ratusan ikan terdampar berhampiran bot nelayan itu
dan beliau bergegas pulang ke rumah untuk memaklumkan keadaan itu kepada
penduduk kampung.
Penduduk Pulau Banggi menamakannya
`Pulau Batu Hairan' kerana selama menangkap ikan di situ, mereka tidak
pernah melihat pulau berkenaan dan keadaan sama diakui nelayan dari luar
pulau terbabit. Kewujudan pulau itu menjadi perbualan hangat, bukan
saja di kedai kopi tetapi turut kedengaran di restoran hotel bertaraf
lima bintang. Ledakan berita itu mendorong segelintir peniaga yang mahu
mengambil seketul batu pulau itu kerana mempercayai ia boleh membawa
tuah.
Penduduk dari selatan Filipina terutama Mindanao
turut berkunjung ke Pulau Batu Hairan sambil mendakwa pulau berkenaan
hanyut dari negara mereka dan timbul di perairan Sabah. Ada penduduk
yang mengadakan kenduri kononnya untuk menolak bala dan acara pemujaan
di pulau itu oleh penduduk Pulau Banggi dan Pulau Balambangan di Kudat
serta Mindanao.
Kewujudan
Pulau Batu Hairan berbeza dengan pulau lain di Sabah. Sebagai
contoh, Pulau Tiga mempunyai sejarah geologi tersendiri dan timbul dari
dasar laut berikutan gempa bumi di Mindanao pada 1897. Kali terakhir
letupan gunung berapi berlaku di Mindanao ialah pada 1941 dan boleh
didengari bunyinya sejauh 160 kilometer (km), menyebabkan 30
hektar belukar di kawasan itu dipenuhi lumpur panas.
Jika
Pulau Batu Hairan wujud kesan letusan gunung berapi di pulau itu,
sudah pasti ia terbentuk sejak 65 tahun lalu berikutan kedudukannya
berhampiran Mindanao. Laporan geologi menunjukkan Pulau Tiga bermula
daripada tiga letusan lumpur gunung berapi pada 21 September 1897
sehingga membentuk kon gunung berapi dengan ketinggian beberapa meter
dari aras laut. Ahli geologi British, John McManus dan Robert B Tate,
yang menerbitkan hasil kajian mengenai Pulau Tiga dalam Geological
Society of Malaysia Bulletin (1986), berkata lumpur dan batu terpancut
keluar ke permukaan bumi dan membentuk kon dengan garis pusat kira-kira
20 meter. Keadaan itu berbeza dengan Pulau Batu Hairan kerana
kemunculannya hanya tiba-tiba dan selepas itu tenggelam semula,
sedangkan Pulau Batu Tiga wujud hingga sekarang serta menjadi aset
sektor pelancongan Sabah.



No comments:
Post a Comment