HANTU ada di
mana-mana di Alcatraz. itulah ungkapan yang sering keluar jika anda
bertnanya kepada penduduk di Amerika Syarikat. Jika satu ketika dulu,
pulau yang menempatkan banduan ini tidak boleh dihampiri, kini ia
‘membuka pintu’ kepada pelancong yang berminat untuk mengetahui rahsia
penghidupan di dalam penjara. Sebagai pulau terpencil, Alcatraz, penjara
yang menempatkan paling ramai pembunuh kejam dan penjenayah licik di
dunia, kini menjadi antara tempat pelancongan yang perlu dilawati
sekiranya berkunjung ke California, Amerika Syarikat.
Juga dikenali sebagai The Rock, Alcatraz, tidak hanya menyimpan kenangan
banduan yang pernah menghuni tempat diberi jolokan Penjara Paling
Berhantu Di Dunia’ itu, sebaliknya turut diselubungi 1,001 misteri dan
kisah menyeramkan.
Sejak menjadi Penjara Persekutuan pada 1934 hingga penutupannya pada 21
Mac 1963, Alcatraz adalah perhentian terakhir bagi 1,576 penjenayah
termasuk pembunuh dan kumpulan samseng. Antara yang pernah tinggal di
Alcatraz ialah Al Capone, samseng keturunan Itali yang menguasai Chicago
dengan darah dan senjata.
“Saya tidak percaya ada hantu. Namun di Alcatraz, suasananya sungguh
berbeza. Pada satu malam saya mendengar bunyi gelas berlaga seolah-olah
ada parti sedang berlangsung. Tempat ini amat menyeramkan sebaik gelap.
Bulu roma sentiasa meremang" kata Al Capone ketika dipenjarakan di
Penjara Alcatra.
Seorang lagi pengawal yang pernah bekerja syif malam mengawal penjara
itu selama 10 tahun, Erik Novencido, turut mengalami pengalaman
menyeramkan. Dia pernah mengambil gambar bilik terapi kejutan elektrik
pada waktu malam untuk ditunjukkan pada seorang rakan.
Apabila filem itu selesai diproses, gambar menunjukkan satu muka yang
sedang merenung pegawai tersebut. Manakala Mary McClure, 52, bekas
anggota paramedik yang bekerja di situ selama 12 tahun, pernah berasa
punggungnya dipicit oleh seseorang walaupun ketika itu beliau sedang
bertugas seorang diri.
Menurut cerita, sel 14D dipercayai antara bilik kurungan yang paling
menyeramkan. Pelawat dan pekerja dilaporkan berasa seram sejuk sebaik
tiba di sel berkenaan. Kejadian berlaku pada 1940-an apabila seorang
banduan yang dikurung di sel 14D menjerit sepanjang malam mengenai satu
makhluk dengan mata terbeliak cuba membunuhnya. Keesokan hari, pengawal
menemui lelaki itu mati dicekik di dalam sel itu.
Tiada siapa mengaku bertanggungjawab di atas kematian itu. Bagaimanapun,
apabila dikira pada keesokan hari, bilangan banduan terlalu ramai,
malah sebahagian pengawal mendakwa melihat banduan yang mati itu di
celah tahanan lain, sebelum ia lesap dalam sekelip mata.
Sementara itu, Al Capone yang menghabiskan sisa usianya di Alcatraz
dengan kesihatan merosot disebabkan penyakit sifilis, suka bermain
banjo, sejenis alat muzik bertali seperti gitar, dengan kumpulan
pancaragam penjara. Bimbang dibunuh jika berada di luar sel, Capone
diberi kebenaran menghabiskan masa lapang berlatih bermain banjo dalam
bilik air.
Menariknya, ia tidak terhenti dengan kematian Capone, sebaliknya seorang
renjer mendakwa mendengar muzik banjo dimainkan dalam bilik air.Tidak
biasa dengan sejarah Alcatraz, renjer berkenaan tidak mengetahui punca
bunyi itu dan mendokumentasikan kejadian aneh berkenaan. Pelawat dan
pekerja juga melaporkan pernah mendengar bunyi banjo dimainkan.
Perkara pelik lain yang dialami pelawat dan pekerja penjara itu,
termasuk terbau asap tetapi tidak menemui api, bunyi tangisan dan
mengerang, berasa seram sejuk di bahagian tertentu, malah ada mendakwa
ternampak hantu banduan atau anggota tentera.


No comments:
Post a Comment